Assalamualaykum warahmatullahiwabarakatuh
Semoga seluruh ahli BAKES secara khusus dan warga UTM secara umumnya, sentiasa berada dalam lindungan dan rahmatNya.
Bulan penuh kerahmatan, keampunan dan janji pembebasan dari api neraka sedang meninggalkan kita. Berbahagialah ke atas mereka yang mendapat limpahan kebaikan sebagaimana dijanjikan oleh Yang Maha Pemberi. Malang bagi mereka yang tidak mendapat limpahan rahmah yang disediakan oleh Allah pada bulan penuh keberkatan ini. Semoga kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan tahun hadapan dengan iltizam untuk memperbaiki serta meningkatkan amalan Ramadan yang barangkali dilakukan dengan penuh kecuaian pada tahun ini.
Kewajipan ibadah puasa yang kita lakukan adalah merupakan ibadah yang telah diamalkan oleh umat terdahulu. Fokus utama dari ibadah yang dilakukan seperti disebutkan dalam al-Quran adalah untuk mencapai status sebagai individu yang bertakwa (supaya kamu bertakwa). Takwa dengan ertikata mencintai Allah dalam segala hal dengan melaksanakan segala yang diperintahkan dan menjauhi segala yang dilarang. Dengan status takwa yang diperolehi, akan menjanjikan kehidupan yang penuh kebahagian di akhirat dan melahirkan persekitaran hidup yang penuh keharmonian di mukabumi. Ini kerana sifat takwa akan menjadikan manusia memfokuskan kehidupan demi mencari keredaan Allah yang sudah pastinya akan menjadikan individu tersebut sentiasa menjaga bukan sahaja hubungan baik dengan Allah, tetapi juga hubungan dengan sesama manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Oleh kerana itu, janji ganjaran dengan status supaya kamu bertakwa melalui tarbiah bulan Ramadan seharusnya digapai dengan seagresif mungkin kerana ia disediakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan untuk menjadi manusia bertakwa.
Melalui pemerhatian, pencarian status supaya kamu bertakwa yang disebutkan dalam al-Quran dalam ayat kewajipan berpuasa, kelihatannya seperti menjadi motivasi yang amat kuat kepada kita sehinggakan masjid-masjid melimpah ruah, dipenuhi oleh para jamaah untuk menunaikan solat Isha’ dan tarawikh secara berjamaah. Namun malangnya, fenomena itu hanya berlaku hanya untuk sementara. Semakin hari semakin kurang kehadiran jamaah untuk sama-sama mencari status tersebut. Malah kehadiran jamaah pada minggu dan hari-hari akhir Ramadan yang padanya ada malam al-qadr menjadi pemandangan yang menyedihkan. Ini kerana, salah satunya, kita sudah mula menyibukkan diri untuk membuat persiapan dunia berbanding mendapat janji supaya kamu bertakwa yang Allah sediakan kepada kita. Kita telah disibukkan dengan persiapan pakaian raya, kuih raya, perhiasan rumah untuk raya dan pebagai lagi kesibukan yang menyebabkan masjid-masjid menjadi terlalu lengang dari kehadiran jamaah yang kelihatan begitu bermotivasi untuk mencapai status supaya kamu bertakwa pada hari pertama Ramadan.
Paradigm shift is needed here dengan cara melakukan segala persiapan untuk sambutan hari raya (kalau tidak semua) dilakukan lebih awal seperti persiapan baju raya, kuih raya dan kemasan rumah untuk raya. Lakukan persiapan tersebut sebelum kehadiran Ramadan. Langkah ini akan mengekalkan kehadiran kita ke masjid-masjid untuk menggapai janji Allah supaya kamu bertakwa. Inilah iltizam paradigm shift bagi kita untuk Ramadan tahun hadapan (Ya Allah, pertemukan kami dengan Ramadan tahun hadapan).
Kepada warga UTM seluruhnya, saya mewakili AJK BAKES UTM mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN. Pastikan keselamatan di jalanraya menjadi tuntutan utama dalam pemanduan untuk pulang ke kampong dan kembali ke UTM selepas sambutan Aidil Fitri.
Wassalaam
Hussin Salamon
YDP BAKES UTM.