PERLEMBAGAAN 

BADAN KEBAJIKAN STAF 

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

 (BAKES UTM)

Fasal 1   NAMA 

Pertubuhan ini dikenali dengan nama BADAN KEBAJIKAN STAF UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA. Nama ringkasnya ialah BAKES UTM.  Selepas ini disebut “BAKES UTM” sahaja.

Fasal 2    ALAMAT TEMPAT URUSAN BERDAFTAR  

Alamat tempat urusan berdaftar ialah di Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 UTM Johor Bahru, Johor atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan di tetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa. Alamat tempat urusan berdaftar BAKES UTM tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Fasal  3   LAMBANG

Rekabentuk :

Keterangan

2.1 Nama Persatuan : BAKES UTM

2.2 Warna : Biru dan Emas

a) Biru : Warna biru melambangkan perpaduan dan keharmonian dikalangan ahli

b) Emas : Warna emas melambangkan mutu dan keunggulan

2.3 Simbol : 3 Bulatan 

bulatan: Simbol bulatan melambangkan gabungan 3 biro utama iaitu Biro Agama, Biro Sukan dan Wanita Teknologi (WANGI). Ianya juga melambangkan semangat bersatu teguh dan silaturrahim dalam Persatuan.

Fasal 4 TUJUAN / MATLAMAT

  1. Untuk membina suatu masyarakat penyayang, sihat dan bermotivasi dalam lingkungan masyarakat Universiti Teknologi Malaysia.
  2. Mengadakan kegiatan-kegiatan untuk menanam dan meningkatkan kesedaran beragama iaitu agama rasmi Malaysia.
  3. Memupuk semangat serta nilai ukhuwah dan persaudaraan serta mengeratkan tali silaturrahim di kalangan ahli BAKES UTM dan keluarga.
  4. Menjalinkan hubungan serta kerjasama dengan badan dan pertubuhan lain diluar Universiti Teknologi Malaysia dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang bersesuaian dengan dasar BAKES UTM bagi faedah dan kepentingan bersama.
  5. Memungut derma untuk tujuan aktiviti BAKES UTM dengan syarat mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan dan pihak berkuasa yang berkenaan terlebih dahulu.
  6.   Memohon, membeli, memiliki, memperolehi, mencagar dan menyewa tanah, rumah, bangunan dan harta tetap yang lain bagi tujuan BAKES UTM dengan syarat kelulusan daripada pihak berkuasa tertentu diperolehi terlebih dahulu.
  7. Menjalankan perniagaan dan pelaburan dalam saluran yang dijamin oleh Kerajaan dan dibenarkan oleh syarak:-

“Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh BAKES UTM, hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan dan pelaburan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan BAKES UTM dan tidak sebahagian pun daripada keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli BAKES UTM. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang akan dibuat dengan tujuan baik seperti membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja  BAKES UTM”

Fasal  5   KEAHLIAN 

  1. Keahlian BAKES UTM adalah terbuka kepada semua staf berjawatan tetap dan kontrak di Universiti Teknologi Malaysia.
  2. Setiap  permohonan  menjadi  ahli  hendaklah  dikemukakan melalui borang secara terus atau penghantaran borang secara mel elektronik (e-mel) kepada Setiausaha BAKES UTM yang akan memaklumkan kepada Jawatankuasa BAKES UTM. Dari masa ke semasa, jawatankuasa boleh menetapkan kaedah lain permohonan keahlian mengikut perkembangan dan teknologi semasa.
  3. Setiap permohonan keahlian Ahli BAKES UTM adalah sah setelah  diluluskan oleh pihak Jawatankuasa dan bayaran yuran bulan pertamanya telah dibuat melalui potongan gaji.
  4. Ahli BAKES UTM boleh mendapatkan perlembagaan terkini BAKES dari laman web BAKES UTM.

 

Fasal  6   YURAN KEAHLIAN 

  1. Yuran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM5.00 (Ringgit Malaysia Lima Sahaja) sebulan.                                     
  2. Jawatankuasa BAKES UTM mempunyai kuasa menetapkan yuran kemasukan semula bagi sesiapa yang telah menarik diri sebagai ahli BAKES UTM

 

Fasal  7   PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

  1. Ahli yang hendak berhenti daripada  menjadi  ahli  BAKES UTM , hendaklah memohon secara bertulis satu (1) bulan kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya. BAKES berhak menuntut baki hutang dari Pejabat Pembayaran Gaji sekiranya ahli berhenti, masih terdapat tunggakan hutang yang belum dijelaskan. 
  2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan BAKES UTM atau  bertindak  dengan cara yang akan mencemarkan nama baik BAKES UTM boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa BAKES UTM.

 

Fasal  8   MESYUARAT 

8.1 MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN
  1. Mesyuarat Agung dilaksanakan secara dwi tahunan dan sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali jumlah Ahli Jawatankuasa mengikut mana yang kurang hendaklah hadir dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat dijalankan. Pengelolaan BAKES UTM ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli.
  2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan untuk Mesyuarat Agung, maka Mesyuarat Agung itu hendaklah ditangguhkan pada satu tarikh (tidak melebihi 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Pada penangguhan Mesyuarat Agung yang kedua sekiranya korum masih lagi tidak mencukupi setelah setengah jam selepas waktu yang ditetapkan, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan BAKES UTM dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
  3. Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mac tahun berikutnya pada tarikh, masa, dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ialah:-
    1. Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan BAKES UTM bagi dua (2) tahun yang lalu.
    2. Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah  diaudit oleh Pemeriksa Kira-kira bagi  dua (2)  tahun yang lalu.
    3. Melantik Ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira dua (2)  tahun sekali.
    4. Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam  mesyuarat itu.
  4. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan, suatu pengumuman yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat serta satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta Penyata kira-kira BAKES UTM bagi dua (2)  tahun lalu yang telah diaudit. Salinan  surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan berdaftar BAKES UTM.  

 

8.2 MESYUARAT AGUNG KHAS
  1. Mesyuarat Agung Khas bagi  BAKES UTM ini boleh diadakan :-
    • Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
    • Atas permintaan ahli dengan bertulis oleh tidak kurang daripada  satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang  berhak mengundi dengan menerangkan  tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada  Setiausaha BAKES UTM.
  2. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan  mesyuarat itu.
  3. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum dari tarikh yang telah ditetapkan untuk  bermesyuarat.
  4. Fasal  8.1 (1)  dan 8.1 (2)  di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas  setengah  jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah  dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas   permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah  boleh diadakan.  

 

Fasal  9  JAWATANKUASA

(1) Suatu jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Jawatankuasa BAKES UTM hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan:-

  1. a) Lantikan melalui pemilihan ;
  1. Seorang Yang Dipertua   
  2. Seorang Timbalan Yang Dipertua
  3. Seorang Setiausaha
  4. Seorang Penolong Setiausaha
  5. Seorang Bendahari 
  6. Seorang Penolong Bendahari
  7. 8 orang Ahli Jawatankuasa

 

  1. (b) Lantikan khas secara tetap sebagai Ahli Jawatankuasa;
  2. Seorang wakil yang dinamakan oleh Pengarah Pusat Islam UTM
  3. Seorang wakil yang dinamakan oleh Pengarah UTM Sports Excellence.
  4. Seorang wakil yang dinamakan oleh Yang Dipertua WANGI

 

Lantikan oleh Jawatankuasa BAKES UTM;

 Jawatankuasa boleh melantik mana-mana ahli menganggotai  Jawatankuasa  BAKES UTM sekiranya diperlukan.

Tempoh perlantikan adalah mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa BAKES UTM.

 

(2) Pemegang-pemegang Jawatan BAKES UTM ini dan tiap-tiap pegawai yang   menjalankan tugas eksekutif dalam BAKES UTM ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.                                                                            

(3)  Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian BAKES UTM dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan BAKES UTM mengikut dasar am yang telah  ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatan dalam dua (2) tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.

(4)  Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya  sekali dalam dua (2) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan  kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua secara bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh  memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya sepertiga (1/3) daripada ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

 

(5)   Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan maka Setiausaha boleh mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara edaran. Syarat-syarat berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima;

 

  1. Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah diperincikan dengan jelas di dalam edaran kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;
  2. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
  3. Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

 

(6) Sebarang keputusan yang diperolehi secara edaran hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7)  Ahli Jawatankuasa yang gagal menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa.

(8)   Jika seorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia, bersara, sakit atau meletakkan jawatan, maka Jawatankuasa berkuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh melantik seorang Setiausaha Kerja untuk menjalankan urusan BAKES UTM dengan memberi sedikit imbalan yang difikirkan sesuai. Jawatankuasa juga boleh memberi imbuhan kepada mana-mana ahli jawatankuasa yang difikirkan perlu bagi menjalankan tugas-tugas BAKES UTM. 

(10) Jawatankuasa boleh juga menggantung atau melucutkan jawatan Setiausaha Kerja yang cuai di dalam melaksanakan tanggungjawab, tidak amanah, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan BAKES UTM.

(11)  Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan perlu dan memberi tugas khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa. Biro-Biro BAKES UTM seperti Biro Sukan, Biro Agama dan Biro WANGI akan diterajui oleh Pegawai Universiti yang dinamakan oleh bahagian tersebut. 

 

Fasal 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN AHLI JAWATANKUASA

(1) Yang Dipertua

  1. Dalam tempoh memegang jawatan, hendaklah menjadi pengerusi Mesyuarat Agung dan semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.  Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat yang telah diluluskan.
  2. Yang Dipertua adalah menjadi jurucakap rasmi bagi pihak persatuan.
  3. Ia merupakan salah seorang daripada penandatangan utama bagi semua cek persatuan bersama-sama dengan Timbalan Yang Dipertua atau Setiausaha atau Bendahari.
  4. Menguruskan pentadbiran am dan hal ehwal persatuan.

 

(2) Timbalan Yang Dipertua

  1. Dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menggantikan/ memangku Yang Dipertua sekiranya jawatan itu dikosongkan dan atau Yang Dipertua tidak dapat menjalankan tugas atas sebab-sebab tertentu.
  2. Ia merupakan salah seorang daripada penandatangan bagi semua cek persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua atau Setiausaha atau Bendahari.
  3. Bertanggungjawab mengenai kebajikan ahli-ahli persatuan

 

(3) Setiausaha

  1. Dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa.  Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat, kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku-buku kewangan.  Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, umur, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat tiap-tiap ahli.
  2. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.  Setiausaha hendaklah di dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh mesyuarat agung Dwi Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan 1966.

 

(4) Penolong Setiausaha

  1. Dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah, membantu Setiausaha menjalankan kerja-kerja pentadbiran persatuan mengikut undang-undang dan membantu Setiausaha menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa.
  2. Membantu Setiausaha membuat catatan mesyuarat Jawatankuasa dan menjalankan tugas-tugas lain mengikut ketetapan yang dibuat oleh mesyuarat Jawatankuasa.
  3. Memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

 

(5) Bendahari 

  1. Dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah, bertanggungjawab berkenaan dengan semua hal kewangan persatuan. 
  2. Bertanggungjawab menyimpan dan membuat kira-kira kewangan dan bertanggungjawab ke atas ketepatannya.
  3. Ia merupakan salah seorang penandatangan cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua atau Setiausaha.

 

(6) Penolong Bendahari

  1. Dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah, bertanggungjawab membantu Bendahari berkenaan dengan semua hal kewangan persatuan.
  2. Bertanggungjawab membantu menyimpan dan membuat kira-kira kewangan dan bertanggungjawab ke atas ketepatannya. 

(7) AJK Jawatankuasa 

  1. Dalam tempoh memegang jawatan mereka hendaklah menghadiri semua mesyuarat.
  2. Bertanggungjawab dengan portfolio yang dipertanggungjawabkan di bawahnya
  3. Membantu Jawatankuasa menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan kepadanya dari masa ke semasa.

         

    Fasal 11 KEWANGAN

    (1)  Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam Undang-undang ini, wang BAKES UTM  ini boleh digunakan untuk perkara yang  berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan BAKES UTM, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran elaun, biayaan dan perbelanjaan Ahli Jawatankuasa dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

    (2)   Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada   RM 3,000.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ribu Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam  bank di atas nama Badan Kebajikan Staf UTM.

    (3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari Akaun BAKES UTM  hendaklah ditandatangani bersama oleh mana-mana dua yang berikut iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang BAKES UTM.

    (4) Perbelanjaan yang melebihi RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ribu Sahaja) tidak boleh dibayar tanpa kelulusan Jawatankuasa. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia:  Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang

    Dipertua bersama-sama Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha dan  Bendahari.

    (5)    Penyata Akaun BAKES UTM setiap tahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 Perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata Akaun BAKES UTM yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan dalam masa empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. 

    (6) Tahun Kewangan BAKES UTM ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember  tiap-tiap tahun.

     

    Fasal 12  PEMERIKSA KIRA-KIRA 

    (1)  Dua (2) orang yang bukannya Jawatankuasa BAKES UTM perlu dilantik di dalam  Mesyuarat Agung  Dwi Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.

    (2)  Mereka dikehendaki memeriksa Akaun BAKES UTM bagi setiap tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat  Agung  Dwi Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira BAKES UTM bagi mana-mana masa dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

     

    Fasal  13     PENGAMANAH

    1. Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada dua puluh satu (21) tahun boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendki oleh BAKES UTM. Semua harta tetap kepunyaan BAKES UTM akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust)
    2. Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hak milik harta kepunyaan BAKES UTM dengan tidak mendapatkan kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung BAKES UTM.
    3. Jika berlaku sebarang kekosongan, Jawatankuasa boleh melantik Pengamanah yang baru.

     

    Fasal 14 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

    1. Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam perlembagaan ini.
    2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.

     

    Fasal 15 PENASIHAT /PENAUNG

    1. Naib Canselor UTM secara automatik menjadi Penasihat BAKES UTM.
    2. Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi BAKES UTM ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis terlebih dahulu.

     

    Fasal 16     LARANGAN

    1. Permainan yang berbentuk judi/yang bergantung semata-mata kepada nasib tidak boleh dimainkan di dalam bilik/rumah BAKES UTM. 
    2. BAKES UTM ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli atau tidak, atas nama BAKES UTM atau pegawai-pegawai atau jawatankuasa. 
    3. BAKES UTM atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.
    4. “Faedah” seperti yang diterangkan dibawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966, tidak boleh diberikan oleh BAKES UTM kepada mana-mana ahlinya.


     Fasal 17 PINDAAN  PERLEMBAGAAN

    Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan  Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada perlembagaan hendaklah dimajukan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari daripada tarikh keputusan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan dan pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

     

    Fasal  18 PEMBUBARAN

    (1)    BAKES UTM ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi di dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

    (2)  Sekiranya BAKES UTM hendak dibubarkan secara yang disebutkan  di atas, maka segala hutang dan tanggungan BAKES UTM yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui  di dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

    (3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran itu.