Dikebanyakan kedai gunting rambut, peralatan seperti sikat, gunting, mesin pemotong rambut dan pencukur sudah menjadi benda wajib yang boleh ditemui diserata dunia.
Ia juga merupakan peralatan penting bagi seorang tukang gunting ketika menjalankan tugasnya.
Bagaimanapun, disebuah kedai gunting rambut yang terletak di Washington, Amerika Syarikat, dua peralatan wajib iaitu gunting dan mesin pemotong rambut tidak pernah digunakan.
Anda pasti tertanya-tanya bagaimana tukang gunting rambut dikedai tersebut menjalankan tugasnya kan. Percaya atau tidak, tukang gunting rambut dikedai ini menggunakan api untuk menggunting rambut.
Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang pelik dan janggal namun itulah kemahiran pemilik kedai gunting ini yang bernama Peitro Santoro. Dia sangat mahir menggunakan api untuk menggunting rambut!
Setiap kali pelanggan mahukan perkhidmatannya, Santoro akan mengeluarkan dua peralatan wajib yang ada dikedainya iaitu pemetik api dan lilin.
Selepas menyalakan lilin, dia akan memotong apa sahaja gaya rambut yang dikehendaki oleh pelanggannya. Nampak mudah tapi sebenarnya kemahiran ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang cukup terlatih sahaja.
Menurut seorang pelanggan tetap kedai ini, kali pertama mengunjungi kedai berkenaan, dia merasa takut dan bimbang kemungkinan rambutnya akan terbakar. Namun, dengan kemahiran dan kecekapan Santoro, perasaan tersebut hilang serta-merta.
Menurutnya, memotong rambut menggunakan api menjadi satu pengalaman yang menarik dalam hidupnya. Dia mendapat kepuasan yang tidak mampu digambarkan walaupun terhidu bau hangit setiap kali rambutnya ‘dipotong’ dengan api.
Malah, kedai gunting rambut ini turut mendapat perhatian mendiang Jack Valenti. Bekas Presiden Motion Picture Association ini menjadi pelanggan tetap selama hampir 15 tahun.
Jack Valenti pernah menyatakan bahawa tidak semua orang mampu memotong rambut dengan menggunakan api. Baginya, ia adalah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan setiap kali rambutnya dipotong.
Bagaimanapun, kaedah yang digunakan oleh Santoro mendapat bantahan daripada sesetengah pihak. Kebanyakan bantahan datangnya daripada pendandan rambut profesional.
Menurut seorang pendandan rambut terkenal New York, Edward Tricomi, dia sama sekali tidak menggalakkan seseorang untuk mendapatkan perkhidmatan pelik tersebut. Menurutnya, cara ini kemungkinan akan menyebabkan pertumbuhan rambut akan terbantut. Yang lebih teruk lagi, rambut akan berbau busuk.
Namun begitu, teori tersebut tidak dipersetujui oleh pemilik Washington’s Okyo Salon, Bernard Portelli. Dia menganggap Santoro telah memperkenalkan satu kaedah baru dalam dunia dandanan rambut.
Malah, sambutan yang diterima daripada pelanggan Santoro cukup memberangsangkan sekali gus membuktikan ia selamat dicuba.
Dan kemungkinannya, kedai Santoro merupakan satu-satunya premis di dunia yang menawarkan perkhidmatan ini. Ini kerana belum ada tukang gunting rambut selain Santoro yang berani melakukannya.
Mereka tidak berani kerana bimbang kaedah tersebut boleh mendatangkan risiko bahaya kepada pelanggan. Dan ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan api.
Santoro yang berasal dari Annapolis, Amerika Syarikat mula menetap di Washington sejak 1967 dan memulakan perniagaan ini sejak tahun 2003.
Teknik memotong rambut menggunakan api dikatakan sudah dipraktikkan sejak berkurun lamanya, namun tidak dapat dipastikan sejarah dan asal usulnya kerana belum ada lagi kajian khusus mengenainya.