PERSATUAN WANITA TEKNOLOGI (WANGI) PERKUKUH JARINGAN DAN
PEMERKASAAN WANITA UTM
JOHOR BAHRU, 11 Februari 2026 – Persatuan Wanita Teknologi (WANGI) Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan Program Hi-Tea yang berlangsung dengan penuh bermakna di kediaman Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Program ini menghimpunkan seramai 70 orang wanita yang terdiri daripada Ahli JPU Wanita, Ketua Kampus Kuala Lumpur, Ketua Kampus UTM Pagoh, Ahli Senat Wanita, Isteri Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Isteri Timbalan Naib Canselor (HEPA), Isteri-isteri Dekan, ketua-ketua wanita, wakil persatuan-persatuan di UTM serta mantan Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail.
Kemuncak program ini ialah pelancaran logo baharu WANGI yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Penaung WANGI, Puan Rozita binti Abdul serta Pengerusi WANGI Prof Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Timbalan Pengerusi WANGI UTM KL, Ts. ChM. Dr.Rozzeta binti Dolah. Pelancaran ini melambangkan nafas baharu WANGI dalam memperkukuh peranan dan hala tuju persatuan sebagai platform strategik pemerkasaan wanita di universiti.
Penganjuran program ini adalah selari dengan objektif utama WANGI, antaranya mengukuhkan jaringan profesional antara Persatuan WANGI UTM, Ahli LPU Wanita, Ahli JPU Wanita, Dekan Wanita serta isteri pemimpin universiti bagi mewujudkan rangkaian sokongan dan kolaborasi strategik. Selain itu, program ini turut menyediakan platform perkongsian pengalaman, idea dan aspirasi berkaitan pembangunan wanita, kepimpinan, kesihatan holistik dan kekeluargaan dalam konteks komuniti universiti. Inisiatif ini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Kesaksamaan Gender melalui usaha memperkasakan penyertaan dan kepimpinan wanita di UTM secara lebih sistematik dan terancang.
Semasa sesi dialog santai, Naib Canselor menyuarakan hasrat agar WANGI berperanan sebagai platform utama dalam pengurusan pembangunan dan kebajikan wanita di UTM. Beliau turut mencadangkan agar kursus atau taklimat khusus diwujudkan bagi membantu pengikatan dan kesinambungan kerjaya wanita di UTM. Di samping itu, perhatian turut diberikan kepada keperluan menyokong ibu-ibu muda, khususnya dalam aspek pengurusan penjagaan anak di tadika dan taska UTM. Keperluan ini wajar dikenal pasti secara menyeluruh bagi meringankan kebimbangan ibu muda dan staf wanita agar mereka dapat memberi fokus yang seimbang terhadap tanggungjawab kerja dan kerjaya.
Program ini turut mendapat sokongan melalui tajaan produk hasil penyelidikan dan inovasi warga UTM, antaranya produk Famelain daripada Prof. Ir. Ts. Dr. Rosnani binti Hasham @ Hisam (IBD), Essential Oil daripada Assoc. Prof. Madya Dr. Harisun Yaakob (IBD Wellness) serta Mini Pouch hasil kraftangan oleh Dr. Norfhairna binti Baharulrazi daripada Kraf Hibiscus.
Secara keseluruhannya, Program Hi-Tea WANGI ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan silaturahim, malah mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam menyokong pembangunan, kebajikan dan kepimpinan wanita demi kesejahteraan komuniti universiti secara holistik.
KEJOHANAN BOWLING WANGI 2026 – “SATU BALINGAN, SERIBU KEMESRAAN”
JOHOR BAHRU, 7 Februari 2026 – Suasana di Sahara Bowl, Angsana Mall bergema meriah dengan sorakan dan semangat kesukanan apabila seramai 64 orang peserta WANGI (Wanita Teknologis) UTM berkumpul bagi menjayakan Kejohanan Bowling WANGI 2026.
Program ini telah dianjurkan oleh Biro Sukan WANGI UTM sebagai inisiatif menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga WANGI. Suasana kejohanan berlangsung penuh ceria dan kompetitif dengan semangat kesukanan yang tinggi dipamerkan oleh semua peserta.
Majlis telah dirasmikan dengan penuh semangat oleh Puan Hanifah binti Ahmad, Timbalan Pengerusi WANGI. Kehadiran beliau memberikan suntikan motivasi kepada para peserta sebelum memulakan balingan pertama.
KEPUTUSAN KATEGORI BERKUMPULAN
Persaingan sengit antara 16 kumpulan akhirnya memihak kepada:
- JOHAN: Lane Sleeper
- NAIB JOHAN: Geng Mak Orang
- TEMPAT KETIGA: Blooming Striker
- TEMPAT KEEMPAT: Lady Squad
JAGUH INDIVIDU (QUEEN OF PINS)
Tahniah kepada individu yang menunjukkan prestasi konsisten dan teknik balingan yang luarbiasa:
- Johan: Rosmah Abu Bakar
- Naib Johan: Nurhidayah Mohamed
- Tempat Ketiga: Noorliza Imran
- Tempat Keempat: Saodah Saidin
Kemuncak program adalah sesi penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengerusi WANGI UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Binti Hassim. Sesi penyampaian hadiah turut diserikan lagi dengan penyampaian hadiah jackpot serta cabutan bertuah yang menambahkan kemeriahan suasana dan kegembiraan para peserta.
Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif Biro Sukan dan semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli. Beliau menegaskan bahawa aktiviti seperti ini sangat penting dalam membina budaya kerja yang harmoni dan cergas di kalangan warga UTM.
“Kemenangan adalah bonus, namun ukhuwah dan kegembiraan bersama adalah matlamat utama kita.”
Kehadiran penuh 64 peserta membuktikan warga WANGI sentiasa komited dalam menyokong aktiviti gaya hidup sihat. Biro Sukan WANGI UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang hadir memeriahkan suasana.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang serta peserta yang telah menjayakan program ini dengan penuh komitmen dan semangat sportiviti. Semoga kejohanan ini terus menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan kebersamaan warga WANGI pada masa akan datang.
“Kemenangan adalah bonus, tetapi ukhuwah yang terjalin adalah piala yang paling berharga.”
Tahniah kepada semua pemenang! Jumpa lagi di kejohanan akan datang!
SUA MESRA WANGI BERSAMA PENASIHAT & MANTAN YDP WANGI
Satu pertemuan penuh mesra telah diadakan melibatkan Jawatankuasa WANGI UTM bersama Penasihat WANGI, YBhg. Puan Rozita, serta mantan YDP WANGI, YBhg. Puan Sri Datin Zanita binti Ramli, bertempat di Kediaman Rasmi Naib Canselor UTM.
Pertemuan istimewa ini berlangsung pada:
📅 Tarikh: 18 November 2025 (Selasa)
⏰ Masa : 5.00 petang
📍 Tempat: Kediaman Rasmi Naib Canselor UTM
Majlis ini menjadi lambang kesinambungan semangat kepimpinan dan persaudaraan dalam usaha memperkasa WANGI UTM ke arah kecemerlangan.Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan, bimbingan serta dorongan berterusan yang diberikan demi kelestarian dan kecemerlangan WANGI UTM.
“Bersama, kita memperkasa wanita, memartabatkan nilai.” ![]()
JAWATANKUASA WANGI UTM 2025/2027
UTM JOHOR BAHRU
UTM KUALA LUMPUR