26/5/2015
KOTA BAHARU, 26 Mei (Bernama) — Sebanyak 700 guru dan penjawat awam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menerima kenaikan gaji hadapan sebanyak tiga peratus, sehari sebelum bersara.
Pengarah JPN Kelantan Hussain Awang berkata individu terbabit yang bersara wajib tetapi tidak sempat menerima kenaikan gaji akan diberi kenaikan gaji sehari sebelum hari bersara yang akan dikira sebagai gaji akhir.
“Kerajaan Malaysia bermurah hati dalam inisiatif menaikkan gaji guru dan penjawat awam yang akan bersara sebelum hari bersara supaya mereka dapat menerima gaji yang lebih tinggi dan seterusnya menaikkan nilai pencen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2015 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, hari ini.
Mengenai tema Hari Guru 2015 ‘Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ Hussain berkata ia bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan melalui falsafah pendidikan kebangsaan yang menekankan tanggungjawab guru dalam melahirkan anak didik yang seimbang dan holistik antara pencapaian akademik dengan kecerdasan jasmani, emosi, rohani serta akhlak yang mulia.
“Modal insan yang ingin kita lahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi mesti diperkukuhkan dengan akhlak yang terpuji yang bakal menyemai sifat jujur, amanah, berintegriti dan sebagainya,” katanya.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada dua penerima iaitu bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Aidah Mohd Salleh dan bekas Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu Wan Muhamad Wan Ali.
— BERNAMA


