Berita Harian

KUALA LUMPUR: CUEPACS menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh supaya dana untuk universiti awam (UA) tidak dipotong dalam Bajet 2018.

Timbalan Presiden I CUEPACS, Mohd Shaman Jaes, berkata pengurangan dikhuatiri memberi kesan langsung kepada kira-kira 50,000 ahli kesatuan itu yang bernaung di bawah Gabungan Kesatuan-Kesatuan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) dan sektor pendidikan tinggi sendiri.
Katanya, selain keselamatan dan kesihatan, sektor pendidikan perlu diberi keutamaan kerana ia melahirkan modal insan yang bakal memimpin negara pada masa depan. “Kami berharap dana yang diperuntukkan untuk UA dalam Bajet 2018 sama dengan tahun ini atau ditingkatkan lagi. Selain untuk penggajian, banyak kos yang memerlukan peyelenggaraan turut meningkat. 
“Kami juga tidak mahu kakitangan kontrak terus menjadi sasaran sekiranya pengurangan bajet berlaku akibat penjimatan kos oleh UA,” katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, di sini, hari ini.Yang turut hadir, Presiden GAKUM, Zulkifli Mohamed; Timbalan Setiausaha Agung I CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin dan Timbalan Setiausaha Kewangan CUEPACS, Mohd Razali Singah. 
Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, tidak semua UA mempunyai keupayaan untuk bergantung kepada kewangan sendiri, malah separuh daripada 20 UA bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.Mengulas lanjut, Mohd Shaman berkata, banyak kesan yang sudah berlaku akibat pengurangan dana untuk UA kepada kakitangan akademik dan bukan akademik serta turut membabitkan pengajian pelajar. 
Katanya, hal itu berlaku apabila banyak proses penyelenggaraan tidak mampu dibuat seterusnya mengakibatkan suasana kurang kondusif untuk pelajar.”Syukur kerana yuran masih dikawal kerajaan kerana jika tidak UA terpaksa menaikkannya bagi menghadapi penambahan kos,” katanya.
Mohd Shaman berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri pada hujung September ini untuk melihat keperluan perkhidmatan dalam sektor awam.