Bernama
Tarikh kemaskini: 10/08/2017



KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan untuk memberi insentif kepada golongan profesion teknikal bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur negara.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu bagaimamana pun perlu mengambil kira persetujuan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain.

“Kami pernah mengangkat cadangan itu kepada JPA pada tahun 2012 namun ia tidak mendapat kelulusan. Usaha ini akan kami teruskan supaya insentif profesion teknikal akan dapat diberikan seperti profesion perubatan.

“Namun demikian, sebelum dapat melaksanakannya, kami perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak berkepentingan yang mempunyai golongan profesion seperti jurutera, arkitek dan juru ukur, ” katanya ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mastura mencadangkan kerajaan mengiktiraf golongan profesion teknikal dengan mengadakan Hari Profesion Teknikal Negara dan pemberian insentif tertentu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan negara…..