Berita Harian
15/11/2017
KUALA LUMPUR: CUEPACS melihat langkah kerajaan melonggarkan syarat pinjaman perumahan menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman idaman sendiri. Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata syarat kelayakan baharu bagaimanapun memerlukan penjawat awam menguruskan perbelanjaan dengan lebih berhemah.
“Contohnya, penjawat awam kumpulan pelaksana gred dua bergaji RM1200 dengan kadar kenaikan gaji tahunan RM80. Jika kelonggaran syarat pinjaman tidak diberikan, peluang mereka memiliki rumah tidak akan ada, ditambah lagi dengan lonjakan harga rumah setiap tahun.
“Namun, mereka harus bijak menguruskan perbelanjaan harian dan melihat kepada keperluan yang lebih penting, iaitu memiliki rumah berbanding kehendak yang lain,” katanya hari ini. Beliau berkata, pinjaman yang dibuat menerusi LPPSA juga dilindungi insurans yang dikawal kerajaan yang membolehkan tindakan sewajarnya sekiranya peminjam gagal membayar. Azih mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bahawa penjawat awam layak mohon pinjaman perumahan walaupun pendapatan bersih kurang 40 peratus selepas potongan.
Katanya, sebelum ini 46 peratus permohonan pembiayaan perumahan penjawat awam ditolak disebabkan syarat ketat LPPSA, iaitu meletakkan anggaran bayaran balik pembiayaan perumahan dan potongan tertera dalam slip gaji tidak melebihi 60 peratus daripada gaji kasar.
“Syarat dikenakan itu menyebabkan banyak permohonan ditolak. Jadi CUEPACS membuat rayuan kepada kerajaan supaya melonggarkan syarat untuk pembiayaan perumahan. “Jadi peluang yang dianggap tertutup, sekarang mereka boleh kembali membuat pinjaman. Syarat baharu ini juga dapat mengelakkan penjawat awam daripada membuat pinjaman daripada penyedia pinjaman kewangan tidak bertauliah,” katanya.