Sinar Harian
21/11/2017


KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan negeri yang berkemampuan agar mempertimbangkan pemberian kadar bonus yang lumayan buat kakitangan mereka.Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ia bagi meringankan beban penjawat awam yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, walaupun unjuran Keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 60.2 peratus tetapi kita masih berada dalam tekanan yang sangat berat ekoran kenaikan harga minyak.“Jadi Cuepacs menyarankan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang berkemampuan agar dapat menimbangkan untuk memberikan bonus lebih tinggi kepada penjawat awam dari Kerajaan Persekutuan kerana kos sara hidup yang kita alami sangat tinggi.
“Jadi melalui pembentangan bajet (oleh negeri-negeri yang belum membuat pembentangan bajet), mungkin pertimbangkan ‘one off’  melalui bonus atau bantuan khas kepada kakitangan kerajaan, sama ada kerajaan peringkat negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan lebih tinggi dari RM1,500.
“Khususnya Terengganu yang merupakan antara negeri terawal yang mempunyai hasil minyak. Agar dapat memberi pertimbangan pemberian bonus lebih tinggi atau sekurang-kurangnya sebulan gaji,” katanya kepada Sinar Harian semasa program Car Free Day dan Tanaman Pokok Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 di Dataran Batu Burok, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ia bukan bermakna tidak menghormati Kerajaan Persekutuan atau untuk membuat perbandingan antara satu sama lain tetapi selepas melihat kepada situasi kos sara hidup yang mencabar masa ini.“Jika kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif dapat memberikan bonus lebih tinggi, jumlah itu tidak memberi kesan yang besar kepada kerajaan negeri.
“Pengumuman bonus oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2018 itu sebagai penanda aras sahaja, ia terpulang kepada kerajaan negeri (masing-masing) untuk menghargai sumbangan kakitangannya.  “Malah ia juga bukan untuk ‘pancing’ pilihan raya tetapi berdasarkan kepada situasi (semasa) yang berlaku,” katanya.  
Dalam pada itu, beliau  berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri yang memberikan bonus lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Johor. “Johor juga dijangka akan mengumumkan bonus lebih tinggi dari RM1,500,” katanya.