Bernama
21/4/2015

 KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) — Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said mengingatkan penjawat awam agar tidak menjadikan perbezaan pandangan dengan kerajaan yang memerintah sebagai penghalang untuk mereka melaksanakan tugas sebaik-sebaiknya.
Salleh berkata dalam sistem pemerintahan demokrasi seperti diamalkan kerajaan Malaysia, semua penjawat awam bertanggungjawab menyokong kerajaan yang memerintah pada ketika itu dengan melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan.

“Pandangan peribadi kita tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk berbuat demikian (melaksanakan segala dasar kerajaan). Tanggungjawab kita ialah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan negara.

“Jika kita sabotaj atau menghalang usaha-usaha kerajaan maka kita adalah seorang kakitangan yang tidak bertanggungjawab kerana kita bekerja untuk ‘government of the day’, bukan soal politik kepartian ” katanya.

Salleh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Isu-isu Semasa dan Kesannya Terhadap Pengukuhan Nasional’ sempena program Bicara Intelek anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Penerangan Sabah Datuk Almain Ajirul dan ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Isu-isu disentuh termasuk pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengenai CBP, Salleh berkata penjelasan rasional, berdasarkan realiti sebenar dan mudah mengenai sistem itu perlu dilakukan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan rakyat lebih mudah memahaminya.

— BERNAMA

baca selanjutnya>>

UTM Open Day