Berita Harian
18/8/2015
18/8/2015
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penjawat awam menanggung kerugian lebih RM50 juta akibat terpedaya dengan tawaran pemaju perumahan tidak berlesen, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Berdasarkan aduan yang disalurkan secara bersemuka dan e-mel, CUEPACS bimbang nilai kerugian akan meningkat jika tiada campur tangan kerajaan. Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata majoriti mangsa yang tertipu ialah kalangan askar yang ditawarkan rumah pada harga mampu milik dan kelulusan segera pinjaman perumahan.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir 10 tahun urus niaga pembelian rumah selesai dan potongan gaji dilaksanakan, kediaman yang dijanjikan pemaju masih terbengkalai. “Deposit berjumlah RM36,000 sudah dibayar ke syarikat pemaju tetapi sampai 10 tahun, hanya tiang rumah yang didirikan.
Di Kelantan saja, sebanyak 12 projek terbengkalai angkara syarikat pemaju tidak berlesen. “Justeru, kerajaan wajar campur tangan dengan mengambil tindakan terhadap syarikat pemaju tidak berlesen ini, selain merangka mekanisme untuk membantu menyelesaikan masalah penjawat awam yang
ditipu,” katanya pada sidang media hari ini Azih berkata, kerajaan antara lain perlu memantau syarat kelulusan permohonan di peringkat Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN). CUEPACS, katanya, bersedia menyalurkan bantuan berkaitan jika kerajaan berhasrat mengadakan rundingan dengan BPP dan JPN untuk menangani masalah penjawat yang ditipu syarikat pemaju tidak berlesen. “Sindiket penipuan jual rumah ini semakin membimbangkan kerana mereka mencari mangsa hampir di merata tempat, termasuk pasar malam dan pusat beli-belah. “Kelantan setakat ini merekodkan jumlah mangsa paling ramai kerana hampir 13,000 askar ditipu syarikat pemaju tidak berlesen dalam tempoh 10 tahun.
“Selain itu, kegiatan sama turut berlaku di Bukit Beruntung, Selangor, Kuala Kangsar (Perak), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak),” katanya. Dalam perkembangan lain, Azih mahu kerajaan mempercepatkan pelaksanaan penetapan gaji minimum daripada RM900 ke RM1,200. Katanya, anjakan gaji untuk 252 skim perkhidmatan di sektor awam itu berupaya membantu penjawat kerajaan untuk menyerap kesan kenaikan kos sara hidup, khususnya di bandar.
“Kita yakin pertimbangan ‘kecil’ untuk kebajikan penjawat awam yang berpendapatan rendah ini tidak membebankan kerajaan, sebaliknya memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya. PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (kiri) ketika sidang media di Wisma Cuepacs Jln Pudu, sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung, Datuk Lok Yim Pheng.- Foto Yazit Razali



