Bernama
9/10/2015


KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) — Pembangunan di Sabah sukar direalisasi tanpa sokongan, komitmen dan kerjasama penjawat awam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata sokongan dan kerjasama penjawat awam adalah penting dalam memastikan semua pelan pembangunan yang direncanakan kerajaan khusus di Sabah dapat berjalan lancar sekali gus direalisasikan dengan jaya demi memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.

Sehubungan itu beliau mengajak semua penjawat awam untuk terus memperkukuh semangat perpaduan, kekitaan dan setiakawan, serta jangan sekali kali menerapkan sikap kenegerian dan kesukuan yang mampu melunturkan tujuan murni untuk membangunkan negara secara lebih efisien.

“Saya tidak mampu membangunkan Sabah secara seorang diri, tetapi saya amat memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua penjawat awam untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.

“Penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya juga harus meneruskan persefahaman, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain kerana pada dasarnya kita mempunyai matlamat sama iaitu mahu membangunkan negara, negeri seterusnya membela rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 Majlis Kebajikan dan Rekreasi Perkhidmatan Awam (MAKSAK) Sabah di sini, malam ini.

Musa berkata MAKSAK Sabah dilihat telah berjaya menjadikan sukan dan kebudayaan sebagai platform melahirkan penjawat awam yang sihat, cergas dan komited terhadap tugas diamanahkan.

Beliau berharap MAKSAK Sabah meningkatkan lagi komitmen dan iltizam untuk membawa majlis itu dengan lebih cemerlang selain menjadi landasan mengeratkan perpaduan penjawat awam melalui aktiviti sukan.

— BERNAMA

baca selanjutnya>>

UTM Open Day