Sinar Harian
22/1/2017
22/1/2017
Kuala Lumpur: Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara bukan hanya berperanan menguat kuasa undang-undang jalan raya, malah kini berupaya memberi bantuan kecemasan terhadap mangsa kemalangan. Ini terbukti apabila 80 pegawai JPJ mengikuti kursus pertolongan cemas yang dianjurkan kali kedua sebagai langkah menghadapi kes kecemasan di hotel di ibu negara sejak Rabu lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, ilmu pertolongan cemas penting dan membantu menyelamatkan mangsa sekiranya rawatan diberikan sejurus kemalangan berlaku.“Inisiatif ini memberi nilai tambah kepada anggota JPJ dalam mengendalikan pertolongan cemas pada peringkat awal sementara menunggu ketibaan petugas perubatan.“Malah mereka dapat mengguna pakai kemahiran berkenaan dalam kehidupan seharian serta membantu keluarga dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kursus itu mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian pada musim perayaan menjelang sambutan Tahun Baru Cina.“Kami mahu membuang persepsi negatif orang awam beranggapan pegawai JPJ hanya mencari kesalahan mereka dengan mengeluarkan saman,” katanya.Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri. Katanya, kursus itu akan diteruskan dalam usaha memberi pendedahan kepada anggota JPJ berhubung pengetahuan bantuan kecemasan.