Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam terutama melibatkan sistem saraan pada 30 Ogos ini.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya berharap kerajaan dapat melaksanakan sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil serta saksama untuk semua penjawat awam di negara ini.

“Diharap ada khabar gembira daripada Perdana Menteri pada perhimpunan bulanan penjawat awam hujung bulan ini.

“Pada luaran, orang melihat penjawat awam bahagia, namun hakikatnya tiada siapa yang mengetahui melainkan penjawat awam itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Program Cuepacs Bersama Penjawat Awam di sini hari ini.

Menurutnya, satu mesyuarat kongres Cuepacs telah diadakan di Kota Kinabalu pada Jun lepas dan segala input yang diperoleh berkaitan keperluan penjawat awam, sudah disampaikan kepada kerajaan.

Cuepacs menurutnya berjuang memastikan kebajikan penjawat awam terjamin sewaktu negara berhadapan pandemik COVID-19 dan akhirnya bersetuju memberi antaranya bantuan khas.

BERNAMA