Berita Harian
4/9/2016
4/9/2016
ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan Ketua Setiausaha Negara bagi berkongsi maklumat mengenai skim waktu bekerja anjal yang dilaksanakan di kementerian itu, sejak dua tahun lalu. Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata sejak Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja dilaksanakan di kementerian itu, kualiti kerja penjawat awam khususnya wanita semakin baik. “Kami sedia bekerjasama untuk menjelaskan secara terperinci mengenai tiga kaedah kerja anjal iaitu bekerja dari rumah, masa bekerja anjal dan waktu bekerja mingguan yang diubahsuai. “Sejak ia dilaksanakan di kementerian saya, mereka (penjawat awam) lebih fokus untuk bekerja malah mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga. Inilah dikatakan keseimbangan kehidupan dan kerjaya,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis perasmian penutup Program Komuniti Persatuan Wanita 1Malaysia (Perwani) Jom Sihat anjuran Pejabat Pembangunan Wanita negeri di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Masjid Tanah, di sini, hari ini. Rohani berkata, sokongan penuh oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerusi Presidennya, Datuk Azih Muda terhadap usaha KPWKM sebelum ini juga menunjukkan kerajaan perlu mengkaji semula waktu bekerja anjal itu kepada semua penjawat awam. “Kementerian saya tidak boleh laksana bersendirian, jadi apabila ramai yang tampil memberi sokongan, saya amat mengalu-alukan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (Dr Ali Hamsa) untuk mengkaji keperluan ini,” katanya. Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menerusi Ketua Setiausaha Negara sedia mengkaji kesesuaian cadangan pelaksanaan sistem waktu bekerja penjawat awam dikurangkan kepada enam jam sehari berbanding lapan jam ketika ini. Perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu termasuk dari segi keperluan dan kewajaran tempoh bekerja yang lebih pendek dalam sektor pekerjaan.


