23/12/2016
PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) — Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 31 Disember ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Mohamad Zabidi, yang berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam, bercuti mulai semalam sebelum perkhidmatannya tamat.
Majlis Iringan Kasih sempena persaraan beliau turut diadakan di sini semalam.
Bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Perdana Menteri itu dilantik ke jawatan itu pada 15 Mac 2013.
Antara anugerah tertinggi yang diterima beliau sepanjang dalam perkhidmatan awam ialah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis dan Tokoh Pejuang Bahasa Perkhidmatan Awam, kedua-duanya pada 2016 serta Anugerah Khas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sempena Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan tahun lepas.
— BERNAMA