14/9/2016
PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon supaya pemandu agensi penguatkuasaan termasuk yang bertugas atas urusan penting negara diberi pengecualiaan dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) ketika melaksanakan tugas.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, setakat ini AWAS yang menggabungkan Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) belum dikuatkuasakan dan sedang menunggu kelulusan daripada Kabinet.
“CUEPACS menyokong pelaksanaan sistem AWAS tersebut tetapi memohon pengecualian diberikan kepada pemandu daripada agensi penguatkusaan yang terpaksa memandu melebihi had ditetapkan ketika operasi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat selain ambulans.
“Pengecualiaan tersebut perlu dilihat secara keseluruhan termasuk pemandu yang bertugas dengan menteri demi kepentingan negara yang adanya masanya perlu berkejar untuk urusan penting,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Azih telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Nadzri Siron berhubung perkara tersebut.
Menurut Azih, setakat ini, terdapat lebih 50,000 pemandu di lebih 700 kementerian dan agensi-agensi kerajaan melahirkan kebimbangan pelaksanaan sistem itu kelak akan menjejaskan tugas dan periuk nasi mereka. – K! ONLINE



