Bernama
8/1/2015

TEMERLOH, 8 Jan (Bernama) — Kerajaan akan memberi bantuan jangka masa pendek dan panjang bagi membantu para peniaga di pesisir Sungai Pahang yang hilang mata pencarian akibat musibah banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu, akan disegerakan agar para peniaga yang terjejas dapat memulakan aktiviti perniagaan dan membina semula kehidupan mereka.

“Saya sudah meninjau banyak tempat, kemusnahannya agak luar biasa dan ini adalah dugaan daripada Allah…dari sudut kerajaan kita tidak memandang rendah perkara ini.

“Bagi para peniaga ikan patin dan tilapia mungkin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh bagi bantuan benih ikan…begitu juga agensi-agensi berkaitan seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar boleh bagi pinjaman kepada mangsa banjir untuk memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas,” katanya semasa berucap pada majlis gotong royong membersihkan rumah mangsa banjir di Taman Sri Lebak dekat sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau Puan Seri Noorainee Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Muhyiddin turut menasihatkan agar mangsa banjir tabah menghadapi ujian ini.

“Kerajaan tidak akan mengambil ringan apa yang terjadi…dianggarkan 300,000 rakyat negara ini terjejas akibat bencana banjir yang melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor, Perak dan Sabah.

“Ini jumlah yang paling besar dalam sejarah…Insya-Allah kita akan tangani masalah ini hingga selesai,” katanya.

— BERNAMA

baca selanjutnya>>