Penjawat awam menjadi nadi penggerak agenda penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Dengan perubahan landskap dan persekitaran, golongan itu tidak lagi boleh berada dalam tempo sama untuk melaksanakan tugas terutama membabitkan situasi tidak menentu.

Pandemik COVID-19 menganjak cara berfikir dan bertindak secara kreatif serta proaktif kerana semua urusan perlu disegerakan dalam sumber terbatas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengingatkan penjawat awam perlu menghayati nilai ‘speed,’ iaitu perlu bertindak dan membuat keputusan pantas demi merealisasikan aspirasi kerajaan mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.

Dalam merealisasikan nilai kepantasan itu, penjawat awam perlu memiliki beberapa kompetensi seiring keperluan semasa termasuk ciri utama perlu dimiliki pentadbir universiti awam (UA) di Malaysia.

UA berperanan menghasilkan ilmuwan, cendekiawan, sarjana, pekerja mahir dan separa mahir untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Dalam era ekonomi global, institut pendidikan tinggi (IPT) perlu menyediakan graduan berketerampilan melalui pembangunan kurikulum relevan, ahli akademik berwibawa dan perkhidmatan kelas pertama serta kondusif untuk pembelajaran berfokus.

Perkhidmatan kelas pertama inilah disandarkan kepada pentadbir melaksanakan proses penyampaian berteraskan sumber manusia kompeten, sekali gus tidak lari dengan peranan pentadbir UA berpegang kepada prinsip 3R, iaitu Relevant (Relevan), Respected (Dihormati) dan Referred (Dirujuk).

Warga pentadbir UA perlu bertindak sebagai agen perubahan, seterusnya berupaya mengetuai perubahan terutama dalam persekitaran tidak menentu. Pentadbir dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) perlu memiliki kecekapan digital dengan menggunakan aplikasi teknologi maklumat secara optimum dalam sistem penyampaian harian.

Ini selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha mendigitalkan semua operasi dan mengurangkan penyampaian secara bersemuka.

Pentadbir universiti perlu menjadi kumpulan awal melakukan transformasi kerana terbukti dapat menjimatkan kos pengoperasian, sekali gus meningkatkan kecekapan jabatan. Golongan itu boleh menjadi pencetus dan pemimpin kepada perubahan jika berjaya melengkapkan kompetensi yang dekat dengan persekitaran serta keperluan semasa.

Sejak berdepan krisis kesihatan global dan krisis ekonomi serta sosial, penjawat awam terutama pentadbir universiti tiada pilihan kecuali menghadapi dan melaksanakan perubahan.

Tanggungjawab sebagai penyampai perkhidmatan kepada rakyat perlu diteruskan walaupun berhadapan iklim tidak menentu. Semua ini akhirnya akan memberi kesan kepada negara dan kepada kesejahteraan rakyat.

Dalam membicarakan kecemerlangan organisasi terutama mengenai universiti dan segala cabaran pentadbirannya, kita tidak dapat lari daripada karya The Idea of a University oleh John Henry Newman dan reformasi pembaharuan universiti di Prussia bermula di Universiti Berlin pada 1810 sebagai model pertama.

Dalam banyak siri syarahannya di Dublin, Newman menjelaskan peranan universiti sebagai ‘a place of universal knowledge’ dan meletakkan pengertian universiti sebagai ‘the union of teaching and research.’

Universiti masa kini perlu dilihat bukan sahaja sebagai IPT, bahkan kota ilmu dan penyelidikan serta bandar budi dan akal membentuk peradaban bangsa dan ketamadunan.

Universiti tidak boleh semata-mata dipacu penyataan visi, misi dan nilai korporat, kerana ia bukan badan korporat yang hala tujunya sekadar mencetak keuntungan. Namun, universiti mesti ditadbir dengan acuan falsafah dan nilai keilmuan serta kesarjanaan hingga mampu melonjakkan kecemerlangan seiring kegemilangan tamadun.

Jika kita membuat sorotan karya, kita akan menemui begitu banyak sekali tulisan membicarakan pengurusan perubahan. Umpamanya John P Kotter – terkenal dengan karya besar, Leading Change – memperincikan lapan langkah utama dalam melaksanakan perubahan organisasi.

Tidaklah jauh jika kita ingin membuat persamaan dengan pentadbir universiti juga mampu melaksanakan perubahan dan layak digelar ‘arkitek universiti.’

Walaupun persekitaran di universiti berbeza dari segi demografi dan hala tuju, keupayaan pentadbir universiti mengemudi bahtera penuh konsisten dan menjana idea serta pandangan yang turut menjadi panduan dalam pembuatan keputusan mengiringi bersama kejayaan beberapa universiti hingga berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan QS World University Rankings (QS WUR) 2023.

Selain kecemerlangan organisasi didukung kecemerlangan pentadbir universiti, kita akui kecemerlangan bakat juga perlu menjadi antara proses utama berterusan dan bersistematik.

Malaysia sendiri memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan negara dengan menghasilkan bakat pendidikan tinggi cemerlang dan berkualiti. Sektor pendidikan perlu dijadikan segmen pelaburan sangat strategik bagi memacu kecemerlangan bakat yang boleh disuntik nilai tambahnya, dianjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 turut memfokuskan kecemerlangan bakat dan menjadikannya antara lonjakan dalam menghasilkan lebih ramai bakat cemerlang

Lonjakan ini memfokuskan usaha membina dan membangunkan bakat cemerlang komuniti akademik di IPT agar berinspirasi dan bertransformasi sebagai persediaan melahirkan modal insan berkualiti.

Dalam lonjakan ini turut difokuskan pegawai tadbir dan ikhtisas serta pelaksana menyokong kepada kumpulan bakat cemerlang. Lonjakan disasarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam pemerkasaan bakat perlu diterjemahkan kepada persediaan dan kesediaan universiti dalam mewujudkan kelompok bakat kompeten.

Kompeten bermaksud bakat pemimpin di universiti perlu memiliki pengetahuan, kemahiran dan keupayaan dalam memastikan staf universiti terus memenuhi persekitaran semasa.

Justeru, pembangunan kerangka kompetensi bagi setiap peringkat kumpulan perkhidmatan universiti mampu mencorak dan membina bakat dekat acuan sendiri, sekali gus mendokong nilai organisasi serta matlamat agar seiring.

Dalam konteks pentadbir UA Malaysia mewakili 10 peratus daripada 93,638 warga UA, lonjakan bakat perlu berfokus kepada pengisian jawatan strategik menjamin kesinambungan dan kelestarian kepimpinan universiti secara objektif.

Ini juga memerlukan komitmen tinggi bukan sahaja pengurusan tertinggi universiti dalam mengikuti proses Pelan Penggantian, bahkan kesediaan pentadbir universiti menyiapkan diri.

Tema Pentadbir Cemerlang Mencipta Masa Depan Gemilang yang dibicarakan dalam tulisan ini juga akan dikupas lebih lanjut dalam Konvensyen Pentadbir Universiti Awam sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Peringkat Kebangsaan Ke-4 di Johor Bahru – BH Online