Bernama
27/8/2016

SEREMBAN, 27 Ogos (Bernama) — Penyertaan wanita dalam tenaga buruh di negara ini telah meningkat daripada 46 peratus pada tahun 2008 kepada 54 peratus pada tahun 2015, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata bagi sektor awam, kadar pencapaian telah melebihi sasaran 57.2 peratus manakala bilangan penjawat awam wanita yang berada di dalam pengurusan tertinggi juga telah mencapai 34 peratus.

“Namun, pencapaian di dalam sektor korporat pada tahun 2015 agak ketinggalan sedikit dengan hanya 26 peratus wanita berada dalam pengurusan tertinggi bagi keseluruhan syarikat tersenarai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Wanita peringkat Negeri Sembilan 2016 di Dewan Tuanku Aishah Rohani di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isterinya yang juga Yang DiPertua Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata ‘Hays Asia Salary Guide 2015,’ melaporkan di Malaysia sebanyak 34 peratus jawatan pengurusan telah diisi oleh wanita berbanding 36 peratus di China, 31 peratus di Hong Kong dan 27 peratus di Singapura.

“Yang membanggakan, peratus ini telah menjadikan Malaysia menduduki tangga kedua di rantau Asia selepas China. Jika kita lihat senario status wanita pada masa kini, saya percaya pelbagai pihak telah memainkan peranan yang cukup penting agar wanita di negara ini mengoptimumkan keupayaan mereka dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Saya yakin peranan pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga korporat telah bersama-sama mengintegrasikan wanita dalam semua sektor pembangunan negara,” katanya.

Rosmah berkata bagi pihak kerajaan, agenda memperkasa wanita merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia sejak awal 80-an dan beliau yakin agenda itu akan membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 di bawah program Transformasi Ekonomi.

Katanya usaha itu diperkemas melalui penubuhan Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita yang memainkan peranan penting sebagai penasihat kerajaan dan badan perundingan untuk memperkasakan wanita selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan bagi kemajuan wanita.

“Di samping itu, saya turut memuji inisiatif digerakkan kerajaan seperti Program Kembali Bekerjaya, yang memberi insentif kepada pihak majikan untuk mengekalkan wanita yang telah berhenti kerja sementara waktu. Di bawah program ini, 200 profesional wanita telah kembali kepada tenaga kerja.

“Begitu juga dengan pewujudan ‘FlexWorkLife’ di mana majikan telah menetapkan aturan kerja yang fleksibel kepada wanita yang mempunyai komitmen anak-anak dan keluarga,” katanya.

Rosmah bagaimanapun berkata beliau berasa sedikit kecewa memandangkan kurang daripada 30 peratus syarikat di Malaysia yang menawarkan aturan kerja fleksibel.

“Dari itu, saya berharap agar para majikan dapat menyambut baik inisiatif ini agar wanita dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Katanya ini adalah bukti yang jelas bahawa Malaysia amat menitikberatkan kesaksamaan hak dan menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Pada majlis itu, tokoh ‘Gelang Kemerdekaan’ Datuk Siti Rahmah Kassim, 90, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Wanita Negeri Sembilan 2016.

Wanita kelahiran Batu Hampar, Rembau itu menerima cek RM15,000, selempang, plak dan sijil.

— BERNAMA