KOSMO
10/7/2017


MASYARAKAT perlu berbelanja secara berhemah dengan bijak membezakan antara keperluan dan kehendak. – Gambar hiasan

Perancangan kewangan sememangnya penting untuk menyambut Aidilfitri. Segalanya perlu diambil kira. Daripada pakaian baharu, pemberian duit raya, kos perjalanan untuk melakukan ziarah hinggalah juadah untuk menjamu tetamu yang datang ke rumah.
Perkara-perkara ini sebenarnya satu kelaziman pada lebaran dan tidak akan menimbulkan masalah kewangan yang berat sekiranya seseorang itu berbelanja dengan berhemah berdasarkan kemampuan.
Sepanjang musim perayaan ini, orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah perlu beringat semasa berbelanja agar tidak tertekan atau dibebani hutang selepas perayaan berakhir.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, fenomena berhutang setiap kali perayaan menjadi trend kalangan penjawat awam dan ia sekali gus membebankan mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“CUEPACS merayu kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya merancang perbelanjaan dan berbelanja secara berhemah. Kami tidak mahu ada yang sehingga terpaksa menanggung hutang selepas musim perayaan. Masalah ini sentiasa berulang setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, seorang penjawat awam akan terus dibelenggu dengan masalah hutang jika sikap meminjam sama ada dengan individu atau syarikat setiap kali musim perayaan, tidak diubah.
“Paling membimbangkan, apabila terdapatnya trend untuk berhutang dengan ah long disebabkan kad kredit habis digunakan untuk berbelanja. Perkembangan ini adalah satu senario tidak sihat dan harus dielakkan oleh penjawat awam.
“Selain itu, kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga juga antara punca mereka terpaksa meminjam dan akhirnya berdepan masalah hutang yang serius selepas hari raya,” ujarnya.
Bajet
Justeru, CUEPACS berharap trend berhutang setiap kali musim perayaan akan dapat diubah dengan perancangan perbelanjaan yang lebih baik pada masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azlan Shah Zaidi berkata, tabiat berbelanja masyarakat juga perlu diubah mengikut situasi ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun yang menimbulkan masalah jika gagal membuat perancangan kewangan walaupun sedia maklum ia adalah sesuatu langkah yang baik.
Selain itu, Mohd. Azlan berkata, ramai orang mempunyai pengetahuan tentang kepentingan menyediakan bajet namun amalannya masih lagi rendah berikutan tanggapan masyarakat bahawa raya hanya setahun sekali.
“Saya berpendapat, aktiviti menyediakan bajet ini patut menjadi amalan dan tabiat semua orang tidak kira latar belakang dan sosioekonomi serta bukan hanya tertumpu pada musim perayaan.
“Sebagai pengguna, kuasa beli dan pilihan adalah di tangan kita sendiri maka hanya kita yang perlu merencanakan persiapan dan perbelanjaan untuk menyambut Syawal,” katanya.
Jelasnya lagi, masyarakat perlu menyediakan bajet raya yang realistik dan mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan sebaiknya mengutamakan kesederhanaan.
Sebagai panduan untuk Aidilfitri tahun-tahun mendatang, Mohd. Azlan menyarankan supaya individu dan keluarga mula membuat persiapan Aidilfitri lebih awal iaitu beberapa bulan sebelum Ramadan.
“Orang ramai mungkin boleh memperuntukkan antara satu hingga tiga bulan sebelum Ramadan untuk melakukan pembelian yang kecil manakala tempoh yang lebih lama, kira-kira enam bulan sebelum Ramadan untuk pembelian jumlah yang besar.
“Ini bertujuan memberikan masa yang cukup kepada pengguna membuat simpanan dan melakukan perbandingan dari segi kualiti, kuantiti dan harga,” ujarnya.

UTM Open Day