Tarikh kemaskini: 28/12/2017

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda (dua, kanan) menunjukkan notis pengosongan dan penalti bayaran ketika sidang akhbar di Wisma Cuepacs hari ini. Cuepacs meminta kerajaan menarik balik penalti dan notis pengosongan kuarters kepada kira-kira 500 penjawat awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Turut hadir Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat (kiri) dan Timbalan Presiden Cuepacs, Mohd Shaman Jaes (kanan).KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menarik balik penalti dan notis pengosongan kuarters kepada kira-kira 500 penjawat awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri itu susulan arahan pertukaran tempat kerja dari Putrajaya ke Kuala Lumpur atau sebaliknya, selain persaraan.
Beliau berkata lebih mendukacitakan perkara itu tidak dimaklum lebih awal sehingga ada yang menanggung penalti mencecah ratusan ribu ringgit.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Azih berkata: “Mereka (penjawat awam) ini tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan dan notis ini cukup membuatkan mereka dalam keadaan sukar, kemurungan, stres dan pelbagai lagi masalah.”
Cuepacs, katanya, mahu tindakan diambil supaya penarikan balik Itu dilakukan sebelum 1 Jan 2018.
Penjawat awam Mohd Fadhlin Arshad, 38, berkata beliau menerima arahan pertukaran tempat kerja di Kuala Lumpur dari Putrajaya pada Januari 2016 namun pada Ogos lalu dimaklumkan tentang penalti berjumlah RM58,000 serta diminta mengosongkan kuarters kerajaan yang diduduki di Putrajaya…..