18/9/2017
PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) — Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menjaga hal ehwal kebajikan profesional kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Perkara berkenaan pernah dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan para pengamal perubatan daripada tangga gaji penjawat awam dan mewujudkan satu suruhanjaya seperti pasukan polis dan tentera tetapi tidak mendapat sokongan dan kelulusan daripada kerajaan, katanya.
Beliau berkata dengan adanya badan itu, ia akan mempunyai skim penjawatan tersendiri serta berupaya menambah baik gaji anggota skim perkhidmatan kesihatan termasuk doktor berbanding kini yang mana penjawatan mereka tertakluk di bawah JPA.
“Kita sentiasa berusaha dari semasa ke semasa bagi memastikan skim perjawatan warga kementerian terbela sejajar menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar skim dan struktur gaji profesional kesihatan disemak semula bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara.
Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Malaysia Diagnosis Related Groups (MalaysianDRG) Versi Kedua di Institut Kanser Negara di sini hari ini, Dr Subramaniam berkata kementerian berharap semakan itu dapat dilaksanakan berikutan saranan Ahmad Zahid itu..